Kata - Kata Aluan Presiden PBPUPMKB 2009

Asalamualaikum wbt dan Salam Sejahtera kepada semua bekas Pelajar Universiti Putra Malaysia, Kampus Bintulu, Sarawak.

Terlebih dahulu saya mengucapkan terima kasih dan setinggi-tinggi tahniah kepada saudara Zaifulsham Zakaria, Setiausaha 1 PBPUPMKB kerana berusaha tanpa jemu untuk terus mengumpulkan serta membuat pelbagai tugas dan tanggungjawab sehingga mewujudkan usaha bagi menubuhkan Persatuan Bekas Pelajar UPMKB, Sarawak.

Dalam usaha bersendiri dan beberapa pihak lain, saya rasa sudah sampai masanya kini kita menubuhkan persatuan secara formal sebagaimana perbincangan dengan pihak pengurusan UPMKB, sekaligus bagi mengeratkan silaturahim sesama kita serta menjadi duta kecil UPMKB kepada masyarakat, pelajar dan bakal pelajarnya.

Selepas mengadakan sesi bertemu pelajar pada reunion sempena Program Alumni UPMKB 2009 di UPMKB pada 1 Mei lalu, pihak pengurusan universiti dan wakil bekas pelajar bersetuju untuk sering mengadakan sesi pertemuan dengan pelajar seumpama itu.

Ini penting bagi memberikan motivasi serta menjawab pelbagai persoalan terutama bagi pelajar yang selama ini tinggal berjauhan dari keluarga di perantauan dan mengelakkan mereka mendapat informasi yang salah mengenai perkembangan isu-isu semasa negara.

Penubuhan persatuan ini juga diharap bukan sahaja mengeratkan semula silaturahim sesama kita, malah mewujudkan satu rangkaian baru kepada semua bekas pelajar sekaligus menepati konsep 1Malaysia melibatkan Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

Saya amat yakin, persatuan ini mampu berjaya dan bergerak ke hadapan lebih-lebih lagi dengan bantuan dan penglibatan bekas-bekas pelajar yang kebanyakannya sudahpun berjaya dalam kerjaya masing-masing.

Melalui persatuan ini, pelbagai perkara boleh dilaksanakan termasuk koperasi bekas pelajar, rumah alumni dan sebagainya.

Insyaallah, kita meletakkan sasaran awal untuk mengadakan satu Majlis Makan Malam dalam tempoh tiga bulan dari sekarang di Kuala Lumpur bagi mengumpulkan seberapa ramai bekas pelajar untuk turut serta.

Akhir sekali, saya amat berharap saudara dan saudari dapat turut serta mendaftar sebagai ahli persatuan bekas pelajar ini secepat mungkin bagi membolehkan urusan pendaftaran secara formal dapat dijalankan.

Sekian, terima kasih


“1MALAYSIA, RAKYAT DIDAHULUKAN, PENCAPAIAN DIUTAMAKAN”


Yang benar.



Yusaini Ali
Presiden Penaja Persatuan Bekas Pelajar UPMKB