ISA : Apabila Melayu jadi Belaci

Penulis : Yusaini Ali, Utusan Malaysia ms. 12, 6/8/2009

Sila klik pada imej untuk bacaan.

Nota : Anda juga boleh memberi pandangan anda mengenai akta ini di dalam kajian yang dijalankan oleh Kementerian Dalam Negeri di laman http://www.ikdn.gov.my/

Kata - Kata Aluan Presiden PBPUPMKB 2009

Asalamualaikum wbt dan Salam Sejahtera kepada semua bekas Pelajar Universiti Putra Malaysia, Kampus Bintulu, Sarawak.

Terlebih dahulu saya mengucapkan terima kasih dan setinggi-tinggi tahniah kepada saudara Zaifulsham Zakaria, Setiausaha 1 PBPUPMKB kerana berusaha tanpa jemu untuk terus mengumpulkan serta membuat pelbagai tugas dan tanggungjawab sehingga mewujudkan usaha bagi menubuhkan Persatuan Bekas Pelajar UPMKB, Sarawak.

Dalam usaha bersendiri dan beberapa pihak lain, saya rasa sudah sampai masanya kini kita menubuhkan persatuan secara formal sebagaimana perbincangan dengan pihak pengurusan UPMKB, sekaligus bagi mengeratkan silaturahim sesama kita serta menjadi duta kecil UPMKB kepada masyarakat, pelajar dan bakal pelajarnya.

Selepas mengadakan sesi bertemu pelajar pada reunion sempena Program Alumni UPMKB 2009 di UPMKB pada 1 Mei lalu, pihak pengurusan universiti dan wakil bekas pelajar bersetuju untuk sering mengadakan sesi pertemuan dengan pelajar seumpama itu.

Ini penting bagi memberikan motivasi serta menjawab pelbagai persoalan terutama bagi pelajar yang selama ini tinggal berjauhan dari keluarga di perantauan dan mengelakkan mereka mendapat informasi yang salah mengenai perkembangan isu-isu semasa negara.

Penubuhan persatuan ini juga diharap bukan sahaja mengeratkan semula silaturahim sesama kita, malah mewujudkan satu rangkaian baru kepada semua bekas pelajar sekaligus menepati konsep 1Malaysia melibatkan Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

Saya amat yakin, persatuan ini mampu berjaya dan bergerak ke hadapan lebih-lebih lagi dengan bantuan dan penglibatan bekas-bekas pelajar yang kebanyakannya sudahpun berjaya dalam kerjaya masing-masing.

Melalui persatuan ini, pelbagai perkara boleh dilaksanakan termasuk koperasi bekas pelajar, rumah alumni dan sebagainya.

Insyaallah, kita meletakkan sasaran awal untuk mengadakan satu Majlis Makan Malam dalam tempoh tiga bulan dari sekarang di Kuala Lumpur bagi mengumpulkan seberapa ramai bekas pelajar untuk turut serta.

Akhir sekali, saya amat berharap saudara dan saudari dapat turut serta mendaftar sebagai ahli persatuan bekas pelajar ini secepat mungkin bagi membolehkan urusan pendaftaran secara formal dapat dijalankan.

Sekian, terima kasih


“1MALAYSIA, RAKYAT DIDAHULUKAN, PENCAPAIAN DIUTAMAKAN”


Yang benar.



Yusaini Ali
Presiden Penaja Persatuan Bekas Pelajar UPMKB

Lawatan Bekas Pelajar ke UPMKB pada 1 - 3 Mei 2009

Lawatan Bekas Pelajar dari Yahoogroup XUPMBINTULU ke kampus UPM Bintulu pada 1 – 3 Mei 2009, telah dirancang oleh pengasasnya, Saudara Zaifulsham Ahmad Zakaria dengan kerjasama Encik Muhammad Abdul Rahim Habib, pegawai di Unit Perkhidmatan Perundingan,Kaunseling,Kerjaya dan Alumni, Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Fakulti Sains Pertanian dan Makanan, Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu.

Perjalanan sepanjang lawatan berjalan lancar dengan pihak UPMKB sanggup menaja kediaman di kolej, jamuan sepanjang aktiviti lawatan dan pengangkutan kami di dalam dan luar kampus.

Pada hari pertama, 1/5/2009, di malam hari, Sesi Suaikenal telah dijalankan di Dewan Taklimat Bangunan Pentadbiran. Para hadirin terdiri dari Pemangku Timbalan Dekan HEP, Staf HEP dan Pelajar Tahun Akhir Bachelor Bio Industri seramai hampir 100 orang. Dr Mohd Daud Bin Awang, Pemangku Timbalan Dekan HEP telah memulakan ucapan dengan mengalu-alukan kedatangan kami ke UPMKB agar lawatan ini boleh menjadi pemangkin kerjasama antara pihak UPMKB dengan Bekas Pelajarnya. Seterusnya, saudara Yusaini Ali, saya dan saudara Alias Sogok memberi motivasi kepada pelajar tahun akhir Bachelor Bio Industri akan perjalanan kerjaya dan pengalaman kami selepas tamat belajar. Acara diteruskan dengan jamuan makan malam dan ramah mesra dengan kesemua hadirin.

Pada hari kedua, 2/5/2009, Sesi Penerangan Universiti telah diadakan di Bilik Ruai Seri Meranti Bangunan Pentadbiran selepas Jamuan Pagi. Pembentangan telah dibuat oleh Encik Noor Hakim Ahmad, Penolong Pendaftar Bahagian Akademik. Antara intipati pembentangan adalah struktur organisasi, aktiviti sedia ada dan perancangan masa depan. Selepas pembentangan, sesi diteruskan dengan dialog.

Seterusnya, lawatan secara berjalan kaki dimulakan dari Bangunan Pentadbiran melalui Dewan Kuliah , Perpustakaan dan tamat di Taman Rusa. Di sana, kami di beri peluang memasuki Taman berpagar itu dan membelai serta bergambar dengan rusa yang ada. Perjalanan seterusnya, disambung dengan menaiki bas UPMKB ke Taman Orkid dan Pusat Penetasan Ikan. Di sana, kami sempat melihat pelajar menjala ikan tilapia yang telah matang untuk dijual. Saudara Yusaini Ali sempat membeli beberapa ekor untuk jamuan tengahari di rumahnya. Lawatan kampus berakhir di tapak semaian.

Perjalanan disambung ke luar kampus di mana kami telah merancang aturcara dengan Pejabat Pertanian Bintulu untuk melawat Industri Kecil. Lawatan diketuai oleh Encik Ahmad Yusof, yang juga merupakan bekas pelajar UPMKB Dip Pertanian 89-92. Perusahaan pertama adalah Kilang merangkumi Kedai Rempah di Park City. Kemudian lawatan diteruskan ke rumah mertua Yusaini Ali di Kg Baru untuk jamuan tengahari ala kampung yang disajikan dengan udang segar yang baru dikail, ayam pasung yang dimasak dalam buluh, ikan talapia UPM goreng (sungguh enak dan tidak berbau) dan sebagainya.

Seterusnya, lawatan dibuat ke Perusahaan Belacan dan Kek Lapis yang juga berada di Kg Baru. Lawatan terakhir dibuat di Kg Jepak untuk perusahaan membuat roti. Kilang tersebut bersebelahan sungai dan kami terhibur dengan anak-anak kampung yang mandi disitu dan menunjukkan bakat terjun ke sungai dari jambatan kecil.

Perjalanan kami tamat pada pukul 5 petang. Setelah beristirehat di kolej, pada pukul 8 malam sesi terakhir : dialog antara kami dengan pengurusan di buat di Bilik Ruai Sri Meranti Bangunan Pentadbiran yang dimulakan dengan jamuan makan malam dengan pengurusan UPMKB yang terdiri dari Dr. Mohd Daud (HEP), Dr Hamdan Musa (Ketua Jabatan Sains Asasi dan Kejuruteraan) , Encik Nalong Buda (Ketua Bahagian Taman Pertanian yang juga alumni UPMKB), Cik Azira Sanusi (Ketua Jabatan Bahagian Kolejgiat) dan Dr. Ida Nurhidayah Husna Kusnadi (Pegawai Perubatan Klinik Kesihatan).

Sesi tamat pada 10.30 malam dengan acara sesi bergambar. Kami kemudian meneruskan dengan pertemuan tertutup yang dipengerusi oleh Saudara Alias Sogok untuk membincangkan hasil dari dialog dan telah bersetuju untuk menubuhkan satu jawatankuasa penaja bagi membentuk Persatuan Bekas Pelajar UPMKB. Sesi ini tamat pada pukul 11.20 malam.

Alhamdulillah, lawatan ini telah membuka mata kepada kedua-dua belah pihak bekas pelajar dan pengurusan. Secara keseluruhan, lawatan kami menjangkau lebih dari objektif dan matlamat yang ingin dicapai :

- Mengimbau nostalgia lama.
- Mendengar penerangan perkembangan semasa UPMKB.
- Berdialog dengan pengurusan UPMKB yang diketuai oleh Pemangku Timbalan Dekan HEP.
- Memberi motivasi kepada pelajar.
- Menubuhkan Jawatankuasa Penaja Persatuan Bekas Pelajar UPMKB.

Semoga lawatan ini akan menjadi pemula untuk kita bersama-sama merapatkan silaturrahim, berkerjasama dalam satu rangkaian dan memartabatkan kembali nama UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK.

YAHOOGROUP XUPMBINTULU

Kumpulan ini diasaskan oleh Saudara Zaifulsham Ahmad Zakaria Dip. Perniagaantani 1988/92 dengan harapan untuk mengumpulkan kembali kenalan yang masih dalam rangkaian hubungan. Penyertaan terbuka kepada semua bekas pelajar UPMKB dan sebagai media komunikasi, pada Mac 2006, Yahoogroup XUPMBINTULU dilancarkan. Penerimaan amat memberangsangkan dengan lebih 100 ahli yang mempunyai email telah mendaftar setakat kini, tidak termasuk bekas pelajar yang masih berhubung melalui sms. Aktiviti pertama yang telah dijalankan dua bulan selepas itu, pada Mei, adalah majlis REUNION di Melaka dan ianya telah dihadiri lebih 200 peserta bersama keluarga masing-masing.

* Lihat Galeri Bergambar untuk photo aktiviti